PUISI MODEN

SAJAK LEBAH DAN MADU




Sajak Lebah Dan Madu

Sajak "Lebah dan Madu" dimuatkan dalam antologi Kasut Kelopak Jantung, muka surat 20. Karya Siti Zaleha M. Hashim itu mengandungi tiga rangkap Tema sajak berkisar terhadap kesedaran untuk mencontohi lebah yang sentiasa bekerjasama, dan sepakat, selain berjasa kepada hidupan lain.


Di pohon sana
pada dahan pohon tualang
lihatlah lebah-lebah
sudah membuat sarang
serangga yang cergas
sentiasa hidup sepakat
sikap yang terpuji.


Pada dahan pokok tualang, kelihatan sekumpulan lebah membuat sarang. Lebah-lebah itu menggambarkan sikap yang terpuji, iaitu sebagai serangga yang cergas dan sentiasa hidup sepakat. Dalam kata lain, tiada seekor pun yang kelihatan bermalas-malas, atau mengasingkan diri daripada kumpulan.

Ada ratu ada pekerja
berkumpul dan bekerjasama
madu manisnya
penawar penyakit manusia.


Koloni (kumpulan) lebah itu mempunyai ketua atau pemimpin, iaitu ratu lebah. Ratu yang mengatur dan mengawasi aktiviti pekerja membuat sarang dan madu. Penghasilan madu (dari bunga-bungaan terpilih) dengan rasanya yang manis, kemudian menjadi penawar (yang mujarab) bagi penyakit yang dihidapi manusia.

Lebah-lebah
pada dahan pohon tualang
kau membuat aku sedar
harus selalu berusaha
dan meninggalkan jasa
seperti madumu yang istimewa.

Pemerhatian terhadap lebah pada dahan pohon tualang berkenaan menyedarkan penyajak (manusia yang peka) bahawa seseorang itu harus sentiasa berusaha sehabis daya dalam sesuatu pekerjaan. Selain itu. seseorang itu juga hendaklah meninggalkan jasa sebagaimana lebah yang menghadiahi manusia dengan madu yang istimewa. Pendek kata, sifat-sifat lebah patut menjadi contoh teladan kepada manusia.

Nilai

1 kecekapan / kecergasan / ketangkasan / ketekunan (fokus / memberi tumpuan sepenuhnya terhadap kerja membuat sarang)

2 kesepakatan / kemuafakatan / bekerjasama / saling membantu / saling menolong (membuat sarang di dahan pokok tualang)

3 kerajinan / kesungguhan / kegigihan (dalam menyiapkan sarang dan menghasilkan madu)

4 kepatuhan / ketaatan (pekerja lebah terhadap perintah ratu lebah)

5 kebijaksanaan (kepimpinan ratu lebah)

6 hidup berjasa (membekalkan madu sebagai penawar kepada penyakit manusia)

7 kepekaan / keprihatinan (penyajak terhadap sifat-sifat lebah yang terpuji)

Persoalan

1 Kecekapan / kecergasan / ketangkasan / ketekunan dalam melakukan sesuatu pekerjaan

2 Kesepakatan / kemuafakatan / bekerjasama / saling membantu / saling menolong dalam sebarang kegiatan / pekerjaan

3 Kerajinan / kesungguhan / kegigihan dalam menyempurnakan sesuatu aktiviti / kegiatan / pekerjaan / tugasan

4 Kepatuhan / ketaan terhadap ketua / pemimpin

5 Kebijaksanaan dalam mengatur kumpulan / organisasi / pasukan

6 Hidup berjasa sesama makhluk

7 Kepekaan / keprihatinan terhadap sifat terpuji

Pengajaran

1 Kita hendaklah cekap / cergas / tangkas / tekun dalam melakukan sesuatu pekerjaan

2 Kita hendaklah sepakat / bermuafakat / bekerjasama / saling membantu / saling menolong dalam sesuatu kegiatan / pekerjaan

3 Kita hendaklah bersungguh-sungguh / gigih / rajin dalam melaksanakan sesuatu aktiviti / kegiatan / pekerjaan / tugasan

4 Kita hendaklah mematuhi arahan ketua / pemimpin (dalam kumpulan / pasukan / organisasi)

5 Kita hendaklah bijak dalam memimpin (kumpulan / pasukan / organisasi)

6 Kita wajiblah hidup berjasa sesama makhluk

7 Kita hendaklah peka / prihatin / mencontohi / meneladani / meniru sifat-sifat terpuji

KIAN KITA LUPA

KIAN KITA LUPA.

Kian kita lupa
pada usul jerih bangsa
bila mewah harta di birai mata

Kian kita lupa
pada derita moyang dahulu kala
bila asyik riak dan berbangga

Kian kita lupa
pada azab dan seksa di sana
bila Tuhan melimpahkan kurnia
Tetapi,
kita hanya tak lupa
bila terlewat masa
untuk menyesali segala
terlanjur laku dan bicara
bahagia bertukar derita
gembira menjadi duka.

ZULFAZLAN JUMRAH
PBMP, UPM SERDANG
Hentian Puduraya,Kuala Lumpur.

Maksud
Rangkap 1:
Manusia semakin melupakan asal usulnya dan kesusahan bangsanya sendiri apabila hidup dalam kemewahan.

Rangkap 2:
Manusia semakin lupa akan menderitaan dan kesusahan generasi terdahulu apabila perasaan sombong dan bangga memenuhi dada pada zaman moden ini.

Rangkap 3:
Manusia sentiasa lupa akan keseksaan hukuman yang bakal diterima di negara apabila lalai menyalahgunakan pemberian Tuhan dalam alam fana ini.

Rangkap 4:
Manusia hanya akan beringat-ingat apabila sudah menyesal atau sudah terlanjur kata mahupun keterlaluan dari segi sikap. Pada waktu itu, kegembiraan sudah menjadi kesedihan dan kebahagiaan sudah menjadi penderitaan.

Tema
Sikap lupa diri dalam kalangan manusia pada waktu senang sehingga makan diri pada waktu terlewat nanti.

Persoalan
1. Kekayaan yang mengabui mata manusia
2. Kebanggaan diri sehingga melupakan jasa generasi terdahulu
3. Nikmat hidup dilalui sehingga melupakan keseksaan hukuman di neraka
4. Penyesalan yang terlewat
5. Kekesalan hidup akibat perbuatan diri
6. Kesalahan tutur kata da sikap yang menyusahkan diri

Gaya Bahasa
1. Inversi ( pembalikan kata)
Bukti: Kian kita lupa sepatutnya ditulis “Kita kian lupa”
2. Sinkof (penggunaan singkatan kata)
Bukti: kita hanya tak lupa
3. Pengulangan kata
Bukti: Kian kita lupa (diulang pada rangkap 1 hingga rangkap 3)

4. Paradoks (penggunaan unsur positif dan negatif dalam satu baris puisi)
Bukti: bahagia bertukar derita
gembira menjadi duka.
* bahagia dan gembira ialah unsur positif
*derita dan duka ialah unsur negatif

5. Simbol (unsur perlambangan)
Bukti: pada azab dan seksa di sana
*di sana bermaksud di neraka atau alam selepas kematian

6. Penggunaan bahasa Arab
Bukti: Azab, kurnia

7. Asonansi ( pengulangan huruf vokal)
Bukti: bila Tuhan melimpahkan kurnia
*dalam baris sajak di atas, vokal “a” diulang sebanyak 5 kali

8. Aliterasi
Bukti: pada derita moyang dahulu kala
*dalam baris sajak di atas, konsonan “d” diulang sebanyak 3 kali

Nilai Murni
1. Mengenang jasa
Bukti: Manusia semakin lupa bangsa sendiri apabila dirinya kaya harta benda

2. Menghargai budi
Bukti: Manusia diminta menghargai budi generasi terdahulu daripada hanya berperasaan bangga diri

3. Patuh akan ajaran agama
Bukti: Manusia diingatkan supaya menjada kelakuan diri daripada terlanjur dan menyesal.

4. Hemah tinggi
Bukti: Pengarang meminta manusia menjada maruah diri supaya tidak menjadi lupa daratan.

5. Kesederhanaan
Bukti: Pengarang menasihati manusia supaya hidup dalam kesederhanaan walaupun kaya kerana merendah diri adalah lebih baik daripada bangga diri.

6. Keinsafan
Bukti: Penyajak meminta manusia insaf akan kesalahan sebelum terlewat supaya tidak mengalami kesediha dan penderitaan.

Pengajaran

1. Kita mestilah mengingati kaum keluarga dan bangsa serta asal usul.
2. Kita haruslah mengenang jasa generasi terdahulu kerana tanpa mereka siapalah kita.
3. Kita wajarlah mengingati setiap ajaran agama supaya tidak merasai bahang api neraka.
4. Kita patutlah menjaga tingkah laku kita supaya maruah diri terpelihara.
5. Kita mestilah insaf akan kesalahan sebelum terlambat.
6. Janganlah kita bangga akan kemewahan diri sehingga bersikap lupa diri.
7. Janganlah kita menyalahgunakan nikmat yang diberikan-Nya.
8. Janganlah kita lupa bahawa masa yang berlalu tidak akan kembali lagi.