PROSA TRADISIONAL

HIKAYAT MARAKARMA

Pengenalan

Marakarma ialah anak kepada pasangan maharaja kayangan yang telah turun ke dunia, serta telah menmpuh pelbagai sengsara. Sejajar dengan penceritaan yang bersifat penglipur lara, terdapat banyak unsur magik dan sakti dipaparkan. Misalnya, ayahanda Marakarma yang bergelar Si Miskin ketika di bumi, berpakaian compang-camping dan tinggal di hutan lalu bertemu tajau berisi emas dan dimakbulkan hajat untuk menukar hutan itu kepada sebuah negeri yang lengkap dengan pembesar dan rakyat jelata sekali.

Watak dan Perwatakan

Maharaja Betara Angkasa Indera Dewa / Si Miskin / Maharaja Indera Angkasa: memiliki kerajaan besar di kayangan. Turun ke dunia bersama isteri setelah tiga kali menghadap Betara Guru, lalu mendapat murka. Bersifat berani, budiman, dermawan, gagah dan setiawan. Di bumi, baginda suami isteri dilontar dengan kayu dan batu hingga cedera, selain diusir. Mereka makan ketupat (lelaki) dan tebu (perempuan) yang diselongkar daripada tong sampah. Ketupat itu ialah jelmaan sepasang anak Betara Kama Jaya, juga dari kayangan. Sebagai suami budiman, Si Miskin sanggup menghadap raja untuk menunaikan rasa mengidam isteri terhadap buah mempelam dan nangka dalam kawasan istana. Sesudah menjumpai tajau emas, hajat mendirikan sebuah kerajaan dimakbulkan apabila hutan yang dihuni bertukar menjadi sebuah negeri yang lengkap dengan jajahan takluk dan rakyat jelata. Negeri itu dinamai Puspa Sari. Baginda memperoleh sepasang anak, iaitu Markarma dan Tuan Puteri Nila Kesuma.

Dewi Kencana / Tuan Puteri Ratna Dewi: Isteri yang setia, iaitu sentiasa di sisi suami sama ada ketika senang mahupun susah. Enggan makan buah mempelam daripada pasar, melainkan daripada taman Maharaja Indera Dewa.

Maharaja Indera Dewa: menguasai kerajaan besar Anta Beranta, tempat Indera Dewa dan isteri turun ke bumi. Mulanya baginda bersikap benci terhadai Si Miskin dengan titah usir. Kemudian, baginda bertukar simpati dengan mengizinkan buah mempelam dan nagka diberikan kepada isteri Si Miskin yang mengidam.

Budi Seorang Bapa Angkat

Sinopsis

Kemangkatan Tuanku Si helang Laut dan permaisurinya di Bandar Mengkalih menyebabkan anaknya Awang Sulung Merah Muda dipelihara oleh Datuk Batin Alam dan Uli Emak Si Anjang. Kemudian Awang Sulung dihantar mengaji Quran dan merawi di rumah Tuan Kadi Alim. Awang dapat membaca hingga khatam pada malam ketujuh. Seterusnya Awang Awang Sulung diajar belajar ilmu bahasa akal dan bahasa Arab di rumah Tuan Malik Kecil. Dalam masa yang singkat sahaja Awang Sulung dapat menguasai ilmu yang dipelajarinya.

Awang Sulung kemudian diajar ilmu persilatan oleh bapa saudara yang memeliharanya, Datuk Batin Alam. Sesudah mahir, Awang Sulung dikhatankan oleh Datuk Mudim Raja dalam satu majlis yang gemilang. Setelah sembuh daripada khatan, tukang mengasah gigi di panggil ke istana. Baja kayu disapukan ke gigi Awang Sulung menjadikan sesiapa yang terpandang wajah Awang Sulung akan terpikat.

Nilai

Antara nilai murni ialah kasih sayang, contohnya Datuk Batin Alam amat mengasihi anak saudaranya Awang Sulung Merah Muda menyebabkan perhatian dan segala ilmu diberikan kepada kanak-kanak itu.

Selain itu tanggungjawab, contohnya Datuk Batin Alam memberikan pendidikan hal berkaitan dunia dan akhirat kepada Awang Sulung Merah Muda.

Akhir sekali ketaatan, contohnya Awang Sulung Merah Muda taat kepada arahan bapa saudaranya kerana dia mengetahui tindakan bapa saudaranya untuk kebaikannya juga.

Pengajaran

Pengajaran yang diperolehi ialah kita perlu bertanggungjawab terhadap saudara yang terdekat, contohnya Datuk Batin Alam mengambil keputusan memelihara Awang Sulung Merah Muda setelah kedua-dua orang tua kanak-kanak itu meninggal dunia.

Selain itu kita hendaklah memberikan ilmu yang secukupnya kepada anak-anak, contohnya Datuk Batin Alam memberikan ilmu dalm hal berkaitan dunia dan akhirat kepada anak angkatnya, Awang Sulung Merah Muda.

Akhir sekali seorang anak perlu patuh kepada kedua-dua orang tua, contohnya Awang Sulung Merah Muda patuh setiap arahan dan nasihat bapa angkatnya, Datuk Batin Alam